JEMPUTAN KE MAJLIS PERARAKAN DAN CERAMAH MAULIDUR RASUL.jAM - 4.00pm KE 9.30pm SEMUA AHLI KARIAH DIJEMPUT HADIR



Selasa, 7 Jun 2011

MUSAFIR KE MASJID KRISTAL - ZIARAH ILMIAH YANG DIBERKAHI


Hari Pertama (3hb Jun, 2011)
Alhamdulillah, akhirnya perancangan yang dibuat lewat jan 2011 lalu berjaya direalisasikan. Malah boleh dikatakan lebih meriah daripada yang dijangkakan apatah lagi perancangan awal menggunakan sebuah bas, pihak urusetia terpaksa menyewa sebuah bas lagi untuk menampung jumlah peserta yang ingin turut serta. Dianggarkan jumlah peserta ialah seramai lebih kurang 84 orang terdiri dari pelbagai peringkat umur.

Seperti jadual tentatif program yang telah siap disusun, sebahagian peserta menunaikan solat fardhu maghrib dan isyak di Surau Infitah Al-Khairiah. En. Tajol Ariffin mengimami solat maghrib manakala En. Nekmat Takin mengimami solat isyak. Kemudian setelah menunaikan solat sunat musafir, peserta berkumpul di perkarangan padang sepak takraw sementara menunggu ketibaan bas.

Bas pertama tiba sekitar jam 9:00 malam diikuti bas kedua pukul 9:10 malam. Setelah menyampaikan sedikit taklimat, semua peserta menaiki bas. Semakan nama-nama peserta dilakukan setelah semua peserta duduk dikerusi masing-masing. Saya tidak dapat mengulas suasana bas kedua kerana saya menaiki bas pertama.

Bacaan doa mohon keselamatan dalam perjalanan telah dibaca oleh En. Tajol Ariffin Hasan. Beliau juga selaku ketua rombongan sempat memberikan sedikit taklimat iaitu setiap peserta hendaklah memastikan rakan disebelah mereka sentiasa ada ketika bas hendak bergerak, setelah peserta turun bas untuk ke tandas atau sebagainya. Ini penting untuk menggelakan berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti peserta tertinggal bas.

Kedua bas bergerak tepat jam 9:45 malam mengikuti laluan Senawang-Kuala Pilah-Serting-Muadzam Shah-Gambang-Jabor-Kuala Terengganu. Kegembiraan jelas terbayang, peserta seolah tidak mahu tidur meskipun sudah lewat malam. Akhirnya destinasi perhentian pertama (untuk ke tandas, minum dan makan malam)tiba iaitu di RnR Muadzam. Rombongan sampai kira-kira jam 12:30 tengah malam. Memeranjatkan di RnR itu telah ada sekitar 20 buah bas rombongan ke pelbagai destinasi. Suasana seolah macam ada pesta atau autshow bas. Dengan jumlah bas sedemikian banyak bas, anda semua dapat bayangkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk ke tandas! atau untuk memesan secawan teh tarik!...Saya lihat ada yang cuma membeli air sahaja manakala makanan, mereka telah membawa bekal dari rumah. Saya sendiri mengambil masa kira-kira setengah jam semata-mata untuk membayar harga sebotol miniral water lantaran ramainya orang beratur untuk membeli air tersebut.


Hari Kedua (4hb Jun, 2011)
Setelah menghabiskan masa kira-kira setengah jam, bas kembali meneruskan perjalanan. Perjalanan yang penuh kedinginan malam itu memaksa beberapa peserta mohon bas berhenti untuk mereka ke tandas! Bas berhenti untuk memenuhi hajat beberapa peserta tersebut di RnR Kuantan. Ketika ini jam menunjukan pukul 2:40 pagi. Kemudian sekali lagi bas berhenti untuk tujuan yang sama di petronas jalan ke Kuala Terengganu. Saya telah berbincang dengan pemandu dan bertanyakan jarak antara petronas tersebut ke masjid terapung Kuala Terengganu, beliau mengatakan sekitar 10 ke 20 minit sahaja. Lantas saya membuat pengumuman, bas akan berhenti untuk solat subuh di Masjid Terapung Tengku Zaharah lebih kurang 10 ke 20 minit lagi. Mulanya memang kami menjangkakan untuk solat subuh di Masjid Kristal, tapi memandangkan waktu suntuk, jadual terpaksa diubah. Rombongan tiba di Masjid Terapung tepat jam 6:15 pagi. Semua peserta bergegas turun dan menunaikan solat subuh. Ada yang mengambil kesempatan untuk turut mandi. Kebetulan di Masjid Terapung itu ada kuliah subuh dan anggota rombongan ada yang turut mendengar kuliah subuh tersebut.

Setelah semuanya selesai, bas bertolak ke Pantai Batu Buruk untuk bersarapan pagi. Ia cuma mengambil masa kira-kira 10 minit dari masjid terapung untuk ke Pantai Batu Buruk tersebut. Jadual seterusnya selepas bersarapan ialah rombongan menuju ke Kg. Losong untuk meninjau pembuatan keropok losong. Memang di Kg. Losong, deretan industri pembuatan keropok losong yang boleh dikatakan diusahakan di rumah + kedai didirikan di sepanjang kiri kanan jalan. Peserta rombongan mengambil kesempatan membeli keropok losong untuk dibawa balik. Keropok biasa dijual RM20 untuk 5 beg seberat kira-kira 1 ke 2 kilo. Di sini juga didapati banyak bas rombongan yang turut sama membawa anggota rombongannya membeli keropok losong.

Seterusnya rombongan menuju ke Arfa Batik. Sekali lagi saya lihat ada beberapa bas rombongan yang telah sampai. Di sini pihak pengurusan Arfa Batik memberikan kupon cabutan bertuah kepada anggota rombongan yang melebihi 15 orang. Syarat penggunaan kupon itu pula ialah sekurang-kurangnya 15 orang mestilah membeli di Arfa Batik tanpa mengira berapa harga belian, bermakna untuk rombongan 2 buah bas, seramai 30 orang mesti membeli. Oleh kerana kami tiba dengan 2 buah bas, sebanyak kira-kira 88 kupon telah diberikan. Cuma dengan jumlah sebanyak itu, pemenang cabutan bertuah yang ditawarkan ialah 6 orang sahaja! Ertinya setiap bas hanya mempunyai 3 orang pemenang. Tapi memang kualiti pakaian batik di sini cukup tinggi dan harganya pun biar ada yang ditawarkan diskaun sehingga 50%, ia masih berharga ratusan ringgit. Itulah Arfa Batik. Rasanya target mereka ialah pelancung asing, bukan warganegara. Apapun, saya salute kerana itulah antara syarikat Bumiputera yang berjaya membawa industri batik sampai ke luar negara. Terlupa saya nak khabarkan, rombongan kami juga disajikan dengan persembahan kebudayaan secara 'live'.