JEMPUTAN KE MAJLIS PERARAKAN DAN CERAMAH MAULIDUR RASUL.jAM - 4.00pm KE 9.30pm SEMUA AHLI KARIAH DIJEMPUT HADIR



Selasa, 7 Jun 2011

MUSAFIR KE MASJID KRISTAL - ZIARAH ILMIAH YANG DIBERKAHI


Hari Pertama (3hb Jun, 2011)
Alhamdulillah, akhirnya perancangan yang dibuat lewat jan 2011 lalu berjaya direalisasikan. Malah boleh dikatakan lebih meriah daripada yang dijangkakan apatah lagi perancangan awal menggunakan sebuah bas, pihak urusetia terpaksa menyewa sebuah bas lagi untuk menampung jumlah peserta yang ingin turut serta. Dianggarkan jumlah peserta ialah seramai lebih kurang 84 orang terdiri dari pelbagai peringkat umur.

Seperti jadual tentatif program yang telah siap disusun, sebahagian peserta menunaikan solat fardhu maghrib dan isyak di Surau Infitah Al-Khairiah. En. Tajol Ariffin mengimami solat maghrib manakala En. Nekmat Takin mengimami solat isyak. Kemudian setelah menunaikan solat sunat musafir, peserta berkumpul di perkarangan padang sepak takraw sementara menunggu ketibaan bas.

Bas pertama tiba sekitar jam 9:00 malam diikuti bas kedua pukul 9:10 malam. Setelah menyampaikan sedikit taklimat, semua peserta menaiki bas. Semakan nama-nama peserta dilakukan setelah semua peserta duduk dikerusi masing-masing. Saya tidak dapat mengulas suasana bas kedua kerana saya menaiki bas pertama.

Bacaan doa mohon keselamatan dalam perjalanan telah dibaca oleh En. Tajol Ariffin Hasan. Beliau juga selaku ketua rombongan sempat memberikan sedikit taklimat iaitu setiap peserta hendaklah memastikan rakan disebelah mereka sentiasa ada ketika bas hendak bergerak, setelah peserta turun bas untuk ke tandas atau sebagainya. Ini penting untuk menggelakan berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti peserta tertinggal bas.

Kedua bas bergerak tepat jam 9:45 malam mengikuti laluan Senawang-Kuala Pilah-Serting-Muadzam Shah-Gambang-Jabor-Kuala Terengganu. Kegembiraan jelas terbayang, peserta seolah tidak mahu tidur meskipun sudah lewat malam. Akhirnya destinasi perhentian pertama (untuk ke tandas, minum dan makan malam)tiba iaitu di RnR Muadzam. Rombongan sampai kira-kira jam 12:30 tengah malam. Memeranjatkan di RnR itu telah ada sekitar 20 buah bas rombongan ke pelbagai destinasi. Suasana seolah macam ada pesta atau autshow bas. Dengan jumlah bas sedemikian banyak bas, anda semua dapat bayangkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk ke tandas! atau untuk memesan secawan teh tarik!...Saya lihat ada yang cuma membeli air sahaja manakala makanan, mereka telah membawa bekal dari rumah. Saya sendiri mengambil masa kira-kira setengah jam semata-mata untuk membayar harga sebotol miniral water lantaran ramainya orang beratur untuk membeli air tersebut.


Hari Kedua (4hb Jun, 2011)
Setelah menghabiskan masa kira-kira setengah jam, bas kembali meneruskan perjalanan. Perjalanan yang penuh kedinginan malam itu memaksa beberapa peserta mohon bas berhenti untuk mereka ke tandas! Bas berhenti untuk memenuhi hajat beberapa peserta tersebut di RnR Kuantan. Ketika ini jam menunjukan pukul 2:40 pagi. Kemudian sekali lagi bas berhenti untuk tujuan yang sama di petronas jalan ke Kuala Terengganu. Saya telah berbincang dengan pemandu dan bertanyakan jarak antara petronas tersebut ke masjid terapung Kuala Terengganu, beliau mengatakan sekitar 10 ke 20 minit sahaja. Lantas saya membuat pengumuman, bas akan berhenti untuk solat subuh di Masjid Terapung Tengku Zaharah lebih kurang 10 ke 20 minit lagi. Mulanya memang kami menjangkakan untuk solat subuh di Masjid Kristal, tapi memandangkan waktu suntuk, jadual terpaksa diubah. Rombongan tiba di Masjid Terapung tepat jam 6:15 pagi. Semua peserta bergegas turun dan menunaikan solat subuh. Ada yang mengambil kesempatan untuk turut mandi. Kebetulan di Masjid Terapung itu ada kuliah subuh dan anggota rombongan ada yang turut mendengar kuliah subuh tersebut.

Setelah semuanya selesai, bas bertolak ke Pantai Batu Buruk untuk bersarapan pagi. Ia cuma mengambil masa kira-kira 10 minit dari masjid terapung untuk ke Pantai Batu Buruk tersebut. Jadual seterusnya selepas bersarapan ialah rombongan menuju ke Kg. Losong untuk meninjau pembuatan keropok losong. Memang di Kg. Losong, deretan industri pembuatan keropok losong yang boleh dikatakan diusahakan di rumah + kedai didirikan di sepanjang kiri kanan jalan. Peserta rombongan mengambil kesempatan membeli keropok losong untuk dibawa balik. Keropok biasa dijual RM20 untuk 5 beg seberat kira-kira 1 ke 2 kilo. Di sini juga didapati banyak bas rombongan yang turut sama membawa anggota rombongannya membeli keropok losong.

Seterusnya rombongan menuju ke Arfa Batik. Sekali lagi saya lihat ada beberapa bas rombongan yang telah sampai. Di sini pihak pengurusan Arfa Batik memberikan kupon cabutan bertuah kepada anggota rombongan yang melebihi 15 orang. Syarat penggunaan kupon itu pula ialah sekurang-kurangnya 15 orang mestilah membeli di Arfa Batik tanpa mengira berapa harga belian, bermakna untuk rombongan 2 buah bas, seramai 30 orang mesti membeli. Oleh kerana kami tiba dengan 2 buah bas, sebanyak kira-kira 88 kupon telah diberikan. Cuma dengan jumlah sebanyak itu, pemenang cabutan bertuah yang ditawarkan ialah 6 orang sahaja! Ertinya setiap bas hanya mempunyai 3 orang pemenang. Tapi memang kualiti pakaian batik di sini cukup tinggi dan harganya pun biar ada yang ditawarkan diskaun sehingga 50%, ia masih berharga ratusan ringgit. Itulah Arfa Batik. Rasanya target mereka ialah pelancung asing, bukan warganegara. Apapun, saya salute kerana itulah antara syarikat Bumiputera yang berjaya membawa industri batik sampai ke luar negara. Terlupa saya nak khabarkan, rombongan kami juga disajikan dengan persembahan kebudayaan secara 'live'.



Selepas Arfa Batik, rombongan menuju ke Masjid Kristal. Inilah destinasi utama rombongan dan atas nama Masjid Kristal lah, saya telah membuat kertas kerja ziarah ilmiah ke Terengganu dan ia berjaya direalisasikan. Maka saya berpesan kepada semua peserta agar mereka dapat menderma ikhlas dalam tabungan masjid. Rombongan meluangkan masa yang lama di Masjid Kristal. Rombongan sempat melawat muzium yang berhampiran serta pusat Tamadun Islam. Malah paling membahagiakan, kami sempat bersolat zohor secara berjamaah. Sessi bergambar melihatkan betapa bagaimana sudut gambar masjid diambilpun, ia melihatkan keunikan binaan Masjid Kristal. Ada pelancong yang mengatakan keunikan dan kecantikan Masjid Kristal lebih terserlah pada waktu malam.

Tentatif hari pertama ke Terengganu tamat dengan menziarahi Masjid Kristal. Rombongan dengan keletihan yang amat sangat akhirnya menuju ke homestay. Kami telah menyewa 2 buah homestay. Rombongan di bawah kendalian saya menyewa di Zaimah Homestay manakala rombongan kedua yang diketuai oleh Cikgu Ghani menyewa kira-kira 10 minit dari homestay kami iaitu Hj. Husein Homestay. Homestay Hajjah Zaimah memang besar dengan ruang tamu yang boleh memuatkan hampir 20 orang. Ia mempunyai 5 bilik dengan setiap bilik dilengkapi penghawa dingin.

Selepas solat isyak, kami semua keluar makan malam di lokasi yang sama kami sarapan pagi iaitu di Pantai Batu Buruk. Peserta mengambil kesempatan bersiaran di pantai dan exspo yang kebetulan ada di situ. Saya mempunyai program sendiri iaitu bertemu rakan-rakan kelab kereta waja Terengganu. Maka saya berpesan pada pemandu yang saya tidak akan ikut bas balik ke homestay selepas makan kerana ada urusan lain.

Hari Ketiga (5hb Jun, 2011)

Hari ketiga dan terakhir di Terengganu, ada yang bersarapan di homestay sahaja dan ada yang bersarapan di kedai berdekatan. Check out di homestay ialah pada jam 12:00 tengah hari. Setelah berkemas rombongan bergerak ke Pasar Kepayang untuk membeli belah dan makan tengah hari. Masa yang diberikan ialah kira-kira 2 jam 1/2. Rombongan tiba di Pasar Kepayang jam 12:30 tengah hari, beerti masa yang diperuntukan ialah sehingga jam 3:00 petang. Masa ini digunakan rombongan untuk membeli pelbagai barangan keperluan, makan tengah hari serta solat zuhur.

Tepat jam 3:00 petang,  bas bergerak menuju ke Marang untuk menikmati 'sata', iaitu makanan tradisi popular warga Terengganu. Seterusnya bas meneruskan perjalanan dan hanya berhenti untuk rehat serta makan malam dan solat maghrib di Hentian Gambang. Kira-kira 1 jam masa diperuntukan sebelum bas meneruskan perjalanan pulang.

Akhirnya rombongan selamat tiba ke destinasi - Flat Senawang Fasa 2. Jam menunjukan pukul 12:45 tengah malam. Kami warga surau Infitah Al-Khairiah dengan kerjasama Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 mengucapkan syukur dan berharap anggota rombongan bergembira. Kami mengambil kesempatan memohon maaf andainya ada kekurangan dalam program yang dirancang. Ini program julung kali yang dianjurkan oleh Surau Infitah Al-Khairiah begitu juga oleh Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2.

Kami telah pun merancang untuk program seterusnya malah kertas kerja untuk itu telah pun saya siapkan. Menunggu masa untuk dihantar ke Pejabat MB dan Baitulmal....tapi tahun depan lah kerana program itu menjurus kepada peruntukan tahun depan.
InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan