JEMPUTAN KE MAJLIS PERARAKAN DAN CERAMAH MAULIDUR RASUL.jAM - 4.00pm KE 9.30pm SEMUA AHLI KARIAH DIJEMPUT HADIR



Ahad, 6 Oktober 2013

SEJARAH TILAWAH AL-QURAN


Tidak banyak orang yang mengetahui sejarah tilawah Al-Quran di negara ini yang sudah mencecah 53 tahun. Tidak seperti tahun-tahun awalnya, tilawah Al-Quran tidak lagi menarik perhatian generasi baharu penonton TV. Pada peringkat awalnya tilawah Al-Quran merupakan suatu peristiwa TV yang penting yang ditunggu-tunggu setiap tahun. Malah pada peringkat awalnya radio menjadi wahana penting untuk menyiarkan tilawah Al-Quran.

Maka itu penerbitan buku 50 Tahun Tilawah Al-Quran oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sangat berguna. Buku ini diilhamkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ia diterbitkan sempena 50 tahun tilawah Al-Quran di negara ini. 

Buku setebal 229 halaman ini bukan sahaja bermuat sejarah tilawah tetapi juga banyak gambar penting yang sebahagian besarnya tidak tersiar di mana-mana. Ia bermuat pelbagai aspek sejarah tilawah itu termasuk nama-nama peserta, para hakim, pemenang juga sejarah astaka yang menjadi pentas tilawah itu diadakan. 
Pada peringkat awalnya tilawah Al-Quran merupakan suatu peristiwa TV yang penting yang ditunggu-tunggu setiap tahun”

Sayogia diingat perkataan ‘tilawah’ sebenarnya baharu diperkenalkan. Sebelum ini perkataan ‘pertandingan’ dan ‘musabaqah’ digunakan. Negeri Johor hari ini menggunakan majlis perujian membaca Al-Quran.

Adalah dipercayai bahawa tilawah Al-Quran yang pertama secara rasmi diadakan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR, nama asal UMNO) pada 4 September 1947 di Masjid Jamek, Johor Bahru. Pertandingan ini dibuka hanya untuk kaum lelaki.

Peringkat kebangsaan mula 1960

Almarhum Tunku Abdul Rahman memulakan peraduan membaca Al-Quran pada peringkat kebangsaan pada tahun 1960. Pada tahun berikutnya Malaya mengadakan tilawah Al-Quran pada peringkat antarabangsa. Adalah dipercayai ini merupakan tilawah Al-Quran yang pertama di dunia. Sewaktu berucap merasmikan tilawah peringkat kebangsaan yang pertama pada tahun 1960, Tunku berharap akan menjadikan Malaya negara yang hebat dengan mengambil semangat dan pemahaman kitab suci itu.

Pada tahun 1961 apabila tilawah peringkat antarabangsa diadakan buat pertama kalinya, Masjid Negara sedang dibina. Selama 22 kali, Stadium Merdeka menjadi tempat pertandingan kebangsaan dan 23 pertandingan antarabangsa. (Stadium bersejarah itu juga merealisasikan cadangan Tunku untuk menaikkan nama negara dalam bidang sukan dengan mengadakan Pesta Bola Merdeka setiap tahun). Sebuah astaka indah akan dibina dan setiap tahun akan diadakan peraduan bagi memilih seni bina astaka yang terbaik.

Pada tahun 1982, tilawah Al-Quran yang terakhir diadakan di Stadium Merdeka. Mulai 1981, tilawah antarabangsa diasingkan daripada peringkat kebangsaan. 

Tilawah Al-Quran juga menampakkan bakat luar biasa orang Melayu dalam tradisi membaca kitab suci itu. Pada peringkat kebangsaan qari dari Kedah, Ismail Hashim menang sembilan kali dari tahun 1962 hingga 1975 sementara Faridah Mat Saman dari Kelantan menang lapan kali dan Rogayah Sulong dari Terengganu menang tujuh kali. Pada peringkat antarabangsa Ismail menang lapan kali, termasuk menjadi johan bersama dengan peserta dari Thailand, Manaf Saseelos pada tahun 1963. 

Faridah merupakan pemenang tilawah antarabangsa wanita yang pertama pada tahun 1964. Beliau menang tujuh kali pada peringkat antarabangsa. Tiga kali yang terakhir (daripada tahun 1989 hingga 1991) dimenanginya setelah meninggalkan gelanggang selama 11 tahun. Rogayah pula menang empat kali pada peringkat antarabangsa, pertama kali pada tahun 1966 dan seterusnya pada tahun 1973, 1974 dan 1978.



Dominasi wakil Malaysia 

Qari pertama menang tilawah antarabangsa adalah Ahmad Mat Som pada tahun 1961. Faridah pula menang pada tahun 1964 apabila tilawah peringkat antarabangsa dibuka kepada wanita. Malah apabila tilawah dibuka pada peserta-peserta negara Arab mulai tahun 1976, qari dan qariah Melayu masih menang banyak kali. Pada tahun itu peserta dari Indonesia, M. Ali Yusni menang ketegori lelaki dan Faridah menang ketegori wanita. Walaupun ada qari dari Libya, Mesir dan Kuwait pernah menang tetapi jumlah mereka sedikit. Bagi qariah pula selain pemenang dari Indonesia, Brunei dan Thailand yang memecahkan kelangsungan kemenangan, selebihnya merupakan qariah Malaysia.

Ada satu aspek menarik mengenai etika berpakaian para peserta, khususnya kaum wanita. Pada zaman Faridah, Rogayah dan lain-lain qariah hanya memakai selendang sewaktu membaca. Hanya pada tahun 1978, qariah pertama bertudung datangnya dari Perak. Hal ini ada kaitannya dengan kebangkitan baru Islam pada tahun-tahun 1970-an.

Buku ini penuh maklumat dan memberikan perspektif yang jelas makna tilawah Al-Quran bagi umat Islam di negara ini. Ia perlu dibaca bagi memahami matlamat sebenar tilawah itu seperti yang dibayangkan oleh Almarhum Tunku – menjadikan negara ini progresif melalui pemahaman kitab suci Al-Quran yang sepatutnya menjadi teras kekuatan ummah.

Kredit : Dato' Johan Jaafar