JEMPUTAN KE MAJLIS PERARAKAN DAN CERAMAH MAULIDUR RASUL.jAM - 4.00pm KE 9.30pm SEMUA AHLI KARIAH DIJEMPUT HADIR



Selasa, 14 Disember 2010

ZIARAH TABLIGH

Satu jemaah tabligh dari Kuantan, Batu Pahat dan Kuala Lumpur serta sekitar Negeri Sembilan telah melakukan ziarah tabligh di Surau Infitah Al-Khairiah selama 3 hari bermula 12hb Dec sehingga 15hb Dec, 2010. Aktiviti mereka antaranya membaca potongan hadis setiap kali selepas solat fardhu mahgrib dan isyak serta bacaan taklim. Suran Infitah Al-Khairiah mengalu-alukan ziarah ini kerana ia bukan saja dapat menambah ilmu di kalangan jemaah surau tetapi juga membantu pihak surau dalam mengeratkan hubungan siraturahim antara pihak surau dengan penduduk kejiranan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 ini.

Difahamkan program ziarah ini akan diadakan setiap tahun dan Surau Infitah Al-Khairiah adalah salah satu lokasi pilihan mereka. Pihak surau merakam setinggi kesyukuran atas kesudian mereka menjadikan Surau Infitah Al-Khairiah sebagai salah satu lokasi pilihan jemaah tabligh ini.


(Laporan disediakan oleh : Tajol Ariffin Hasan) 

Jumaat, 10 Disember 2010

SAMBUTAN MA'AL HIJRAH

Bertarikh 6hb Dec, 2010 bersamaan 1 Muharam 1432H, buat pertama kalinya Surau Infitah Al-Khairiah dengan KRT Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 telah bersama-sama menganjurkan majlis sambutan maal hijrah bertempat di  Surau Infitah Al-Khairiah. Majlis bermula seawal jam 6.15 petang dengan bacaan 3 kali yasin disertai bacaan doa akhir tahun sebanyak 3 kali setiap kali selepas bacaan yasin. 
Bacaan yasin disambung semula selepas solat maghrib. Ia juga dilakukan dengan 3 kali bacaan yasin dan 3 kali bacaan doa awal tahun. Tahlil dan doa selamat juga dibaca selepas selesai bacaan yasin. Selepas majlis selesai, pihak urusetia telah mengadakan sedikit jamuan. Majlis berakhir sekitar jam 10.00 malam.
Pihak Surau Infitah Al-Khairiah dan KRT merakam jutaan terima kasih kepada semua muslimin dan muslimat yang hadir. InsyaAllah, majlis sebegini akan dijadikan aktiviti wajib pada setiap tahun.

(Laporan disediakan oleh : Tajol Ariffin Hasan) 

Sabtu, 13 November 2010

LAPORAN AKTIVITI - MAJLIS AQIQAH

Satu majlis aqiqah telah dijalankan oleh Surau Infitah Al-Khairiah pada tanggal 14hb November, 2010 bersamaan 7 Zulhijjah, 1431H. Majlis itu dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2. Majlis aqiqah ini dijalankan lebih awal dari majlis qurban perdana yang akan dijalankan pada 20hb November nanti. Surau mengadakan sedikit kenduri kesyukuran dan bacaan tahlil  pada sebelah malamnya. Menu utama makan pada malam itu ialah jamuan sup tulang. AJK Surau merakam jutaan terima kasih pada seluruh penduduk yang terlibat. Syukur alhamdulillah!

















(Laporan disediakan oleh : Tajol Ariffin Hasan)

Ahad, 7 November 2010

LAPORAN AKTIVITI - KURSUS PENGURUSAN JENAZAH

Tanggal 7hb November, 2010 bersamaan 30 zulkaedah, Surau Taman Sri Mawar 1, Surau Taman Sri Mawar 2 dan Surau Infitah Al-Khairiah dengan kerjasama Masjid Ar Raudhah Taman Rasa Sayang, bersama menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah bertempat di Surau Taman Sri Mawar 1. Kehadiran peserta melebihi 100 orang. 2 orang fasilitator dari Masjid Ar Raudhah  iaitu Tn Hj. Hamzah b Hj Md Dan (Imam Masjid Ar Raudhah Taman Rasa Sayang) dan En. Zainudin b. Hj Hambari (Bilal Masjid Ar Raudhah) dan seorang fasilitator perempuan dari Taman Tunku Jaafar telah dijemput untuk mengendalikan bengkel. Majlis dirasmikan oleh En. Zulkifili, SU Masjid Ar Raudhah.

(Laporan disediakan oleh : Tajol Ariffin Hasan. Gambar ehsan dari Masjid Ar Raudah)

Ahad, 10 Oktober 2010

LAPORAN AKTIVITI - MAJLIS HARI RAYA DAN RAMAH MESRA BERSAMA PEMIMPIN


Pada 24 Syawal, 1431H beersamaan 03hb Oktober, 2010, melalui kerjasama Surau Infitah Al-Khairiah Rumah Pangsa Senawang Fasa 2, UMNO Cawangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 dan Badan Kebajikan telah sekali lagi berjaya menganjurkan satu Program Hari Raya dan Ramah Mesra Bersama Pemimpin. Buat pertama kalinya program itu berjaya menghimpun pemimpin dari parti UMNO, MCA, GERAKAN dan MIC. Sasaran objektif program nampaknya telah berjaya dicapai. Kehadiran orang ramai dari pelbagai bangsa menunjukan keberjayaan program sekaligus menunjukan umat Islam di persekitaran kawasan kejiranan menghormati agama lain-lain bangsa dan agama.

Pada majlis tersebut juga telah diadakan majlis penyampaian sumbangan raya kepada warga emas. Warga emas terdiri dari 3 orang keturunan Melayu, 2 orang keturunan China dan 3 orang keturunan India. Untuk memeriahkan majlis, selain daripada jamuan hari raya dengan pelbagai juadah kuih moden dan tradisional, diadakan juga cabutan nombor bertuah. Seramai 10 orang penduduk yang hadir telah memenangi cabutan tersebut.

Program yang diatur ini juga sebenarnya untuk merapatkan hubungan silaturahim antara semua penduduk di kawasan kejiranan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 disamping memupuk semangat gotong royong tanpa mengira bangsa dan agama. Program bermula seawal pagi dengan aktiviti memasak lemang, nasi himpit dan membuat rendang. Urusetia dan AJK Kerja mengambil kesempatan ini untuk merakam jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat antaranya UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, RELA, SRS, COMBI, Surau Infitah Al-Khairiah, Badan Kebajikan serta orang ramai dari kawasan kejiranan persekitaran. InsyaAllah, kami akan mengatur lebih banyak program lagi demi merapatkan hubungan sedia ada penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2. Berikut sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakam.
























(Laporan disediakan oleh : Tajol Ariffin Hasan)

Selasa, 5 Oktober 2010

Panggilan Mesyuarat


Ruj Kami: Pent. Jld 1/Bil 13 (1010)
Ruj Tuan: 
05hb Okt, 2010/26 Syawal 1431H
___________________________________

____________________________________________

Tuan/puan,

Assalamualaikum,
NOTIS PANGGILAN Mesyuarat AJK Surau Infitah Al-Khairiah Kali Ke 4 (2010)
Sukacita dimaklumkan, satu mesyurat AJK Surau Infitah Al-Khairiah akan diadakan seperti ketetapan berikut.

            Tarikh             :           07hb Okt, 2010
            Masa               :           09.00 mlm (Khamis)
            Tempat           :           Surau Infitah Al-Khairiah

2.         Agenda Mesyuarat  
                        2.1       Ucapan Aluan Pengerusi
                        2.2      Mengesahkan minit mesyuarat yang lalu
                        2.3      Laporan kewangan
                        2.4      Laporan biro-biro
                        2.5      Perkara berbangkit
                        2.6      Hal-hal lain.

4.         Kehadiran tuan/puan dalam mesyuarat tersebut amat dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian




“Surau Menjana Perpaduan Ummah”


 Yang benar,


.....................................
(Abd Ghani bin Mansoor)
Setiausaha Surau Infitah Al-Khairiah Rumah Pangsa Senawang Fasa 2

-          Pengerusi dan AJK Masjid Ar-Raudhah
-          Sisipan Fail


Rabu, 22 September 2010

Panggilan Mesyuarat

Ruj. Tuan :
Ruj. Kami :
Tarikh : 20hb Sept, 2010

___________________________________

___________________________________

Tuan/puan,

Assalamualaikum,

Per. : MESYUARAT KHAS URUSETIA DAN AJK SURAU BERKENAAN PROGRAM MAJLIS HARI RAYA DAN RAMAH MESRA BERSAMA PEMIMPIN PADA 02/10/2010.

Perkara di atas adalah dirujuk.

2. Sukacita dimaklumkan satu mesyuarat khas bagi membincangkan perjalananan program Majlis Hari Raya dan Ramah Mesra Bersama Pemimpin anjuran bersama Surau Infitah Al-khairiah, Badan Kebajikan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 dan UMNO Cawangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 akan diadakan pada ketetapan berikut :-

  • Tarikh : 23hb Sept, 2010
  • Masa : Jam 09.00 mlm, selepas majlis bacaan yasin (Khamis)
  • Tempat : Surau Infitah Al-Khairiah

3. Kerjasama dan segala pandangan daripada pihak tuan/puan adalah amat dihargai dan kami dahulu dengan ucapan ribuan terima kasih.

“Surau Menjana Perpaduan Ummah”

Sekian.
Yang benar


………………………………….
(Abd Ghani bin Mansoor)
Setiausaha Surau Infitah Al-Khairiah Rumah Pangsa Senawang Fasa 2
- Pengerusi dan AJK Masjid Ar-Raudhah
- Pengerusi KRT/Jiran Wanita
- Pengerusi COMBI/RELA/SRS